Isnin, 30 Januari 2017

Petik sayur di halaman rumah


Assalamalaikum,

Hari ini Sis Yatt agak sibuk, walaupun masih bercuti tapi kena melayan keluarga tercinta. Oklah, petang tadi Sis Yatt sempat bertandang ke kediaman kakak yang terletak di Kuang, Selangor yang juga terletak berhampiran dengan rumah baru saya. Walaupun masih belum berjiran dengan kakak, doa-doakanlah satu hari nanti kami berjiran. 

Sejak berpindah ke Kuang, rasa cukup tenang, mungkin sebab dah biasa duduk di Flat yang agak bising dengan kesibukan kota, jadi bila duduk di kawasan ala-ala desa ni nyaman rasanya.

Paling seronok rumah kakak Sis Yatt dikelilingi hutan kecil, ala-ala bercuti di Janda Baik bak kata kawan baik Sis Yatt, Suzi. Petang tadi Sis Yatt sempat jenguk kebun kecil di halaman rumah kakak. Banyak juga pokok-pokok yang ditanam seperti cili, bendi dan sebagainya. Jadi banyak juga boleh berjimat di dalam ekonomi yang merosot sekarang ni.

Petang tadi kami dijamu pelbagai makanan enak seperti Asam Pedas Ikan dan manisan pula, Sago Gula Melaka. Dah lama tak datang sini walaupun duduk berhampiran sebab Sis Yatt sibuk dengan kerja Sis Yatt. Masa kakak sibuk kacau Sago, anak Sis Yatt, Aina ditugaskan untuk mengambil daun pandan di halaman. Jadi tak payalah nak kedai beli daun pandan. Oklah hari ini Sis Yatt nak bagi tips tentang kebaikan berkebun di rumah. Jom lihat perkongsian Sis Yatt moga mendapat manfaat kepada rakan-rakan:

Tips Berkebun Di Laman Sendiri

1. Tentukan sayuran yang ingin ditanam.  Pilihlah tanaman yang memerlukan pertumbuhan dan kondisi tanah yang sama agar lebih mudah dirawat. Sayur-sayuran memerlukan cahaya matahari, jadi pilihlah bahagian halaman yang paling banyak terkena sinar matahari untuk dijadikan kebun sayuran. 
2. Rancang luas kawasan kebun anda. Jadi senang untuk anda memilih jenis sayuran yang hendak ditanam. Keluasan tanaman berbeza mengikut jenis sayuran.
3. Kebun sayuran biasanya ditanam secara berbaris supaya dapat  membantu anda memantau tanaman yang lain. 
4. Sediakan ruang tambahan di antara barisan untuk memudahkan anda berjalan berjalan di kebun supaya senang untuk mencabut rumput dan menyiram tanaman anda. 

Ahad, 29 Januari 2017

Lempeng Cicah Sambal Hijau Ikan Bilis

Salam,
Malam ni sempat Sis Yatt sediakan resipi ringkas untuk santapan keluarga. Idea nak masak menu Lempeng Sambal Hijau Ikan Bilis tercetus masa hadiri kursus semalam. Hidangan yang disediakan oleh Kuzie Catering jadi inspirasi. Memang menyengat sampai terbawa dalam mimpi.

Jadi malam ni Sis Yatt nk berkongsi resipi ringkas ni dengan anda semua...Selamat mencuba...kalau tak sedap jangan kecam Sis Yatt ya!

Resipi Lempeng Sambal Hijau Ikan Bilis

Sambal Hijau Ikan Bilis
Bahan2
1. Cili hijau
2. Bawang merah
3. Ikan bilis

Cara membuat:
1. Potong cili kemudian rendamkan dgn air panas.
2. Bawang besar dipotong.
3. Kisarkan cili dan bawang tersebut.
4. Goreng ikan bilis sehingga garing kemudiaan angkat.
5. Tumiskan cili masukkan garam dan serbuk perasa bila dah garing masukkan ikan bilis. Hidangkan.

Lempeng
Bahan2
1. Tepung gandum
2. Garam
3. Telur

Cara membuat:
1. Masukkan tepung, garam dan telur kemudian gaulkan dengan air panas.
2. Sukatan air ikut suka kalo nk oekat air tak payah byk kalo nk cair letak air lebih.
3. Panaskan kuali dan masakkan lempeng.

Dah siap..hidangkan...senang jer resipi ni...




Sabtu, 28 Januari 2017

Kisah Hujung Minggu

Salam sejahtera,
Hari Ahad walaupun cuti bekerja tapi sebagai seorang isteri dan ibu Sis Yatt tetap sibuk. Awal pagi anak-anak Aina, Auni dan Bani, dah bangun jam 6 pagi, masing-masing dok bising-bising jerit laparrrrr....jadi  sila bangun dari lena ya.  Biasanya hari minggu memang tak masak sarapan sebabnya akan basuh baju dulu, lepak di dobi dan kebetulan ada wifi free jadi masing-masing pon ambil kesempatan guna internet percuma.
Bercerita tentang dobi layan diri ni memang memudahkan kerja. Balik saja dah boleh terus lipat baju, tapi memandangkan baju yang dibasuh stok seminggu, jawabnya   berbakul-bakul baju yang menanti untuk dilipat. Bab ni memang tension, Sis Yat harap sapa-sapa yang tak ada kerja tu bolehlah datang membantu Sis...Hihihi. Kalaulah ada mesin lipat baju, Sis Yatt orang pertama yang nak order dulu.
Habis saja melipat baju, memasak pula untuk lunch, biasanya bila hari minggu ini istimewa sikit. Dalam kepala banyak menu yang nak dimasak tapi akhirnya menu simple yang jadi realiti. Mujurlah Sis Yatt pandai memasak kalau tak memang jawabnya telur mata dan kicap sajalah menu kami sekeluarga. Lepas menjamu selera, paling best dapat lenakan mata sekejap dalam 15 minit pun jadilah. Biasanya kalau dah tertidur akan terlajak sejam kemudian bangun dah petanng. Waktu ni anak-anak minta minuman petang pula. Jadi gorenglah keropok lekor atau cekodok. Sambil tu panaskan lauk yang ada untuk disediakan santapan makan malam.
Sebagai seorang wanita bekerjaya hari minggu antara rutin paling padat. Sebab ini sajalah masa yang ada untuk mengemas rumah dan hari bersama keluarga. Untuk diri sendiri kena pandai-pandai curi masa ya. Jadi disini Sis Yatt nak kongsikan bersama tip mudah mengemas rumah buat ibu-ibu di luar sana. Sayang semua.
Tips Kemas Rumah Bagi Ibu Bekerjaya & Sibuk
1. Jangan Biar Pinggan Tak Basuh
Jangan biarkan pinggan di sinki walaupun sebiji. Jika ditinggalkan sebiji kemudia akan tinggal berbiji-biji pinggan dan cawan. Selain itu ajar anak selepas makan letakkan pinggan di sinki dan basuh. Tak kiranya anak perempuan atau lelaki kena buat benda yang sama.
2. Kemas Dapur Lepas Memasak
Lepas memasak jangan biarkan dapur kotor. Cepat-cepat lap sebab kalau kita tangguhkan kerja jawabnya takkan berkemas dan kekotoran akan merebak.
3. Kemas Ruang Tamu Setiap Hari
Ruang tamu paling penting sebab tempat kita melepak. Ruang yang tamu yang kemas akan kurangkan tekanan anda.
4. Ajar Anak Kemas Mainan
Bab ni memang memeningkan, setiap hari akan keluar suara 'tarzan' Sis Yatt bila lihat rumah berselerak dan anak-anak pula buat tak tahu. Jadi bagi buatkan anak-anak rajin berkemas biasanya Sis Yatt akan bagi ganjaran. Contohnya akan memasak makanan kegemaran mereka. Dari kecil Sis Yatt rasa elok diajar anak-anak mengemas sendiri mainan mereka.

 

Salam Perkenalan

Assalamualaikum, 

Pertama kali sudah tentu Sis Yatt Suboh nak perkenalkan diri. Sis ni jenis yang happy go lucky. Memang sudah lama mengidam nak buat satu blog khas seperti Diari namun sering tidak berkesempatan. Rupa-rupanya buat blog ni cukup mudah! Padanlah rakan-rakan yang lain semua dah ada blog sendiri. Syukurlah akhirnya Sis berjaya ada blog sendiri dengan bantuan pakcik google. Nak tahu lagi ker tentang Sis Yatt, Oklah Sis ni seorang wartawan majalah khusus buat wanita. Jadi memang banyaklah benda yang Sis nak kongsikan dan curahkan buat semua. Oklah sikit jerlah dulu ya pasal diri Sis. Nanti kita sambung lagi. Apapun Salam
Perkenalan buat semua.